KELEBIHAN BERISTIGHFAR DAN BERTAUBAT

fb img 1625154799743

KELEBIHAN BERISTIGHFAR DAN TAUBAT

 

Sesungguhnya menjadikan zikir sebagai asas kehidupan umat Islam adalah suatu perkara yang dituntut oleh Islam. Dalam kesempatan yang ringkas ini, disebutkan beberapa faedah terbesar sahaja daripada istighfar dan taubat:

 

(1) Memperoleh Keampunan Allah dan Memasuki Syurga

 

Sudah diketahui umum, bahawa seseorang hamba yang berisghfar dan bertaubat daripada dosa yang dilakukannya, dia akan memperoleh keampunan daripada Allah (s.w.t.) dan taubatnya akan diterima oleh Allah (s.w.t.).

 

Firman Allah (s.w.t):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (8)

Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, pada hari di mana Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama-sama dengan Baginda. Cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan). Mereka berkata: “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.

 

(2) Memperolehi Kasih Sayang Allah (s.w.t.)

Firman Allah (s.w.t.):

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ (222)

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri.

 

Sabda Rasulullah (s.a.w.):

التائب حبيب الله ، والتائب من الذنب كمن لا ذنب له

Maksudnya:

Orang yang bertaubat itu adalah kekasih Allah. Dan orang yang bertaubat daripada dosa adalah seperti orang yang tidak berdosa.

 

Sabda Rasulullah (s.a.w.):

الله أفرح بتوبة العبد المؤمن من رجل نزل في أرض دوية مهلكة معه راحلته عليها طعامه وشرابه فوضع رأسه فنام نومه فاستيقظ وقد ذهبت راحلته فطلبها حتى إذا اشتد عليه الحر والعطش أو ما شاء الله قال: أرجع إلى مكاني الذي كنت فيه فأنام حتى أموت. فوضع رأسه على ساعده ليموت ، فاستيقظ فإذا راحلته عنده عليها زاده وشرابه ، فالله تعالى أشد فرحا بتوبة العبد المؤمن من هذا براحلته . وفي بعض الألفاظ (( قال من شدة فرحه إذ أراد شكر الله: أنا ربك وأنت عبدي )).

Maksudnya:

Allah lebih gembira dengan taubat seorang hamba Mukmin lebih daripada kegembiraan seorang lelaki yang bermusafir di suatu kawasan muka bumi yang tandus dan membahayakan, di mana bersamanya ada binatang (yang menjadi kenderaan) tunggangannya yang membawa makanan dan minumannya (segala keperluannya dalam musafir itu). Lalu (setelah letih) dia melelapkan matanya dan tertidur nyenyak. Apabila dia terjaga, dia dapati binatang tunggangannya itu sudah hilang. Lalu dia mencari binatang tunggangannya itu sehingga dia merasa tersangat panas dan dahaga, atau ditimpa apa jua kesusahan yang dikehendaki oleh Allah, dia berkata: “Baik aku kembali ke tempat tadi, aku mahu tidur sehingga mati di situ. Lalu dia berbaring sambil meletakkan kepalanya atas tangannya sebagai persediaan untuk menghadapi mati (sehingga dia tertidur). Apabila dia terjaga, dia dapati binatang tunggangannya ada di sebelahnya, di mana makanan dan minumannya ada pada binatang itu. Maka Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya lebih daripada lelaki ini yang sangat gembira dengan terjumpanya binatang tunggangannya itu. Dalam sesetengah riwayat hadith itu berbunyi: Disebabkan terlalu gembira, lelaki itu ingin mengungkapkan perasaan kesyukurannya kepada Allah (s.w.t.) sehingga terlatah: Ya Allah! Akulah Tuhan-Mu dan Engkau adalah hambaku (Hadith Muttafaq ‘Alaihi).

 

(3) Jauh Daripada Musibah, Membawa Kepada Keseimbangan Hidup Manusia dan Membawa Rezeki

 

Taubat dan istighfar adalah ibadah yang wajar dilakukan oleh seorang Mukmin sepanjang masa dan pada setiap tempat dan dalam segala situasi. Masyarakat Mukmin yang sentiasa beristighfar akan dijauhkan Allah (s.w.t.) daripada azab-Nya. Firman Allah (s.w.t.):

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (33)

Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada bersama mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar (meminta ampun).

 

Seseorang Muslim yang sentiasa bertaubat dan beristighfar akan diberikan pelepasan daripada kesesakan dan masalah.

 

Sabda Rasulullah (s.a.w.):

من لازم الاستغفار جعل الله له من كل هم فرجا ومن كل ضيق مخرجا ورزقه من حيث لا يحتسب. رواه أبو داود والنسائي وابن ماجه وغيرهم.

Maksudnya:

Sesiapa yang sentiasa beristighfar, Allah akan memberikan pelepasan daripada setiap kesusahannya, memberikannya jalan penyelesaian kepada setiap kesempitannya dan Dia akan memberikannya rezeki dari punca-punca yang dia tidak pernah menyangkanya (Hadith riwayat Abu Dawud, al-Nasa’i, Ibn Majah dan lain-lain).

 

(4) Kemakmuran Masyarakat dan Negara

 

Antara faedah taubat dan istighfar yang paling besar yang tidak berapa diendahkan oleh umat Islam ialah faedah kemakmuran hidup.

 

Semakin banyak manusia berzikir, beristighfar dan bertaubat, maka akan semakin banyak pula kemakmuran yang bakal dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ ۖ وَإِن تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ (3) إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (4)

Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-Nya, nescaya Dia akan memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu tempoh masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) nescaya Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal soleh) akan pahala kelebihannya itu. Dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya) (3) Kepada Allah jualah kembalinya kamu, dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (4).

Surah Hud (11): 3-4

 

Firman Allah (s.w.t.) lagi:

وَيَا قَوْمِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا مُجْرِمِينَ (52)

Dan wahai kaumku! Hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian hendaklah kamu bertaubat kepada-Nya, nescaya Dia akan menurunkan ke atas hujan lebat dan nescaya Dia akan menambahkan kamu satu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada. Dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!

 

Firman Allah (s.w.t.) lagi:

{فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا (12) } [ نوح]

10. Maka aku berkata (kepada mereka): beristighfarlah kamu (memohon ampun) kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun.

11. Nescaya Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.

12. Dan nescaya Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

 

Firman Allah (s.w.t.) lagi:

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ (15)

15. Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. (Negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun!.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Related Posts

Jumlah Terkumpul (infaq tabung pembinaan surau) Setakat 10 Mar 2024 : RM 353,446.39